Saturday, April 18, 2009

Moyang Mamak Ai


Kepercayaan roh nenek moyang adalah kepercayaan bahawa mereka yang telah meninggal masih kekal bersama-sama di bumi ini untuk memerhatikan anak-cucu keturunan mereka yang masih hidup.

Roh nenek moyang ini perlu dijaga dan dijamu (diberi makan dan persembahan) agar mereka gembira dan membantu keturunan mereka ketika ditimpa sesusahan. Roh nenek moyang yang diabaikan akan kembali menimpakan bencana kepada keturunan mereka yang tidak menjaga kebajikan diri roh nenek moyang itu.

Kepercayaan ini terdapat dikalangan orang asli, dan orang Cina.

Muzium Orang Asli Gombak


Muzium Orang Asli terletak di Jalan Gombak kira-kira 20km dari Kuala Lumpur dan ia mempamerkan koleksi artifak seperti sumpit buluh dan belanga yang diwarisinya berusia lebih dari 600 tahun serta penerangan mengenai Orang Asli.

Kaum Senoi

Kumpulan Kaum Orang Asli Senoi mendiami kawasan lereng Banjaran Titiwangsa serta juga di sebelah pantai negeri Selangor. Ianya merangkumi kawasan di pedalaman negeri Perak, Kelantan, Pahang dan Terengganu. Terdapat enam rumpun bangsa yang bernaung di bawah kategori kaum Senoi iaitu Che Wong, Mah Meri, Jahut, Semoq Beri, Semai dan Temiar.


Temiar

Penempatan rumpun bangsa Temiar yang teramai adalah di daerah Gua Musang, Kelantan yang menganjur hingga ke sempadan Perak dan Kelantan. Pada peringkat awal, mereka membuat rumah seperti keadaan rumah panjang di mana lokasinya ditentukan oleh Penghulu atau Batin melalui kaedah ’berhalaq’. Kemudian mereka akan mula membina kediaman sendiri setelah sekian lama di rumah panjang tersebut. Mereka menyara kehidupan dengan bercucuk tanam, berburu dan mencari tumbuhan hutan. Kemajuan negara telah merubah cara hidup mereka khususnya dalam bidang ekonomi masa kini, di mana kebanyakannya mengusahakan tanah kebun dan juga bekerja dalam pelbagai sektor yang lain.


Semai

Semai merupakan masyarakat yang paling ramai populasinya di kalangan 18 kumpulan etnik Orang Asli. Kebanyakan mereka menetap di sekitar Banjaran Titiwangsa meliputi Perak Tengah, Perak Selatan dan Pahang Barat. Kehidupan ekonomi mereka ialah berburu, mencari rotan serta buah-buahan hutan.


Semoq Beri

Penempatan kumpulan etnik Semoq Beri sebahagian besarnya adalah di kawasan pinggir Pahang iaitu di daerah Jerantut, Maran, dan Kuantan, manakala selebihnya di daerah-daerah Hulu Terengganu dan Kemaman, Terengganu. Pada masa lalu, mereka juga menjalani kehidupan ala nomad untuk mencari bahan-bahan makanan. Namun kini, hasil daripada ledakan kemajuan negara mereka turut dilimpahi dengan hasil sumber ekonomi yang dikongsi bersama.


Jah Het

Pusat kependudukan bagi rumpun bangsa Jah Het adalah di sekitar daerah Temerloh dan Jerantut, Pahang. Kawasan tersebut meliputi Kerdau-Paya Paleng, Paya Mengkuang, Kuala Krau-Penderas, Mendoi, Seboi, Pasu, Piau dan Galong, Temerloh. Manakala di daerah Jerantut, Sungai Kiol dan Kekwel (Kol). Pada waktu lalu, mereka menyara kehidupan melalui kegiatan mencari rotan dan damar untuk dijual, di samping berburu, menangkap ikan dan mengusahakan ladang untuk sara diri.


Mah Meri

Mah Meri bermaksud ’Orang Hutan’, manakala dalam istilah, Mah Meri disebut ’bersisik’. Mereka dikatakan berasal dari pulau-pualu di selatan negeri Johor. kumpulan etnik Mah Meri juga dikenali sebagai ’orang laut’ sesuai dengan lokasi penempatan mereka yang berhampiran dengan laut. Justeru, sumber ekonomi utama mereka adalah melalui hasil laut. Mutakhir ini mereka mula memasuki sektor perladangan di samping kegiatan kebudayaan dan seni kraftangan yang menjadi identiti rumpun bangsa tersebut.


Che Wong

Kumpulan etnik Che wong tinggal di kawasan daerah Raub dan di Sungai Enggang, Lanchang, Temerloh, Pahang. Mereka juga merupakan masyarakat yang suka berpindah randah demi untuk mencari kehidupan yang lebih selesa. Hasil daripada kemajuan negara, kini mereka memiliki perkampungan mereka sendiri yang makmur dan selesa, sebagai asas dalam mewujudkan sebuah perkampungan yang menarik lagi menguntungkan.

Kaum Negrito

Kumpulan Kaum Orang Asli Negrito terdiri daripada kumpulan etnik Kensiu, Kintak, Lanoh, Jahai, Mendriq dan Bateq. Mereka mendiami kawasan di sekitar banjaran Titiwangsa yang berpusat kebanyakannya di sebelah utara Semenanjung.


Kensiu

Lokasi penempatan kumpulan etnik Kensiu cuma terdapat di Kampung Lubok Legong, Kedah. Mereka merupakan kumpulan kedua terkecil dari kalangan 18 kumpulan etnik Orang Asli. Satu ketika dulu, orang Kensiu suka berpindah randah untuk mencari bahan-bahan makanan. Kini mereka mengusahakan tanaman getah yang dubangunkan oleh pihak RISDA sebagai sumber ekonomi tetap mereka.


Kintak

Seperti juga Kensiu, Orang Kintak suka berpindah randah untuk mencari bahan makanan. Mereka mendiami kawasan pinggir daerah Gerik, Hulu Perak. Tumpuan serius yang diberikan oleh pihak Kerajaan terhadap kalangan masyarakat Orang Asli, telah menyebabkan kumpulan etnik Kintak mengubah cara hidup mereka untuk menjadi setanding dan separa dengan rakan-rakan mereka yang lain. Kalangan mereka turut menyertai bidang-bidang pekerjaan yang dulunya dirasakan mustahil seperti perkhidmatan kolar putih dan biru.


Lanoh

Masyarakat Lanoh (Lano) dulunya turut dikenali sebagai Sabubn. Namun, kini perkataan Sabubn tidak digunakan lagi oleh sebab-sebab yang kurang jelas. Penempatan mereka bertaburan di sekitar utara negeri Perak terutama di daerah Lenggong. Mereka juga satu ketika dulu suka hidup berpindah randah. Dari sudut linguistik dan budaya, mereka lebih mirip kepada kumpulan etnik Kensiu dan Kintak. Umumnya mereka lebih banyak bertutur dalam dialek bahasa Temiar.


Jahai

Lokasi penempatan kumpulan etnik Jahai terdapat di Banun, Sungai Tiang dan persisir Empangan Temenggor di Perak. Sementara di Kelantan, mereka bertumpu di Kampung Sungai Rual dan sekitar Jeli, Hulu Kelantan. Pada amnya, rupa paras orang Jahai seakan ada persamaannya dengan orang Habsyi atau Negro di Arika, suku kaum Negrito di Pulau Andaman dan Aeta di Filipina. Rumah mereka berbentuk pisang sesikat, dibina daripada buluh dan beratapkan daun bertam dan tepus.

Keadaan rumah mereka yang serba ringkas itu adalah disebabkan amalan mereka yang suka berpindah randah, terutama apabila berlaku kematian dan bencana selain tujuan untuk mencari keperluan makanan di kawasan baru. Namun demikian, seperti juga masyarakat Orang Asli yang lain, mereka kini sudah memiliki penempatan sendiri dan terbela dari segala sudut kehidupan melalui bantuan-bantuan oleh pihak Kerajaan.


Mendriq

Kumpulan etnik Mendriq menghuni di sekitar hulu sungai Kuala Lah, jajahan Gua Musang, Kelantan. Seperti Jahai, ciri fizikal orang Mendriq lebih mirip kepada rupa paras orang Negrito lain di kepulauan Andaman, Filipina dan Selatan Thai. Tubuh mereka kecil tetapi tegap dan sasa. Mereka dikatakan sebagai kaum dari tinggalan zaman paleolitik (zaman batu lama) yang mengunjur dari Semenanjung ke Pasifik. Bahasa suku kaum Mendriq ialah Austraossiatik. Mereka tergolong sebagai penutur kumpulan etnik Mon-Khmer tetapi kini telah banyak menerima kemasukan kosa kata Melayu.


Bateq

Taman Negara Kuala Tahan, sekitar bahagian hulu Sungai Tembeling, Sungai Kechau, Teluk Gunung di Pahang, Sungai Gala, Sungai Chiku, Sungai Tako, Sungai Lebir dan Sungai Airing di Kelantan serta Sungai Berua, Besut, Terengganu adalah merupakan penempatan utama masyarakat Bateq. Jika dahulu mereka turut mengamalkan amalan berpindah randah, tetapi mutakhir ini mereka memilih untuk menduduki kawasan yang disediakan oleh pihak Kerajaan ke arah kesejahteraan kehidupan mereka.

Kaum Melayu-Proto

Kumpulan Kaum Orang Asli Melayu-Proto mencakupi rumpun bangsa Temuan, Semelai, Jakun, Orang Kanaq, Orang Kuala dan Orang Seletar. Pada awalnya mereka tinggal di kawasan pantai, kuala ataupun kawasan-kawasan lembah. Kini mereka telah memiliki kawasan perkampungan mereka sendiri dan mengecapi kehidupan yang lebih selesa hasil daripada pembangunan yang dibawa oleh pihak Kerajaan.


Orang Kuala

Istilah ’Orang Kuala’ wujud disebabkan lokasi masyarakat itu sendiri yang kebanyakannya tinggal di kawasan kuala sungai dan persisiran pantai barat Johor. Mereka dipercayai berasal dari kepulauan Riau-Lingga dan kawasan yang berhampiran dengan pantai Sumatera, Indonesia. Lokasi penempatan mereka terdapat di Kuala Rengit, Kuala Senggarang dan Tanjung Segenting dalam daerah Batu Pahat serta juga di Kuala Benut, Kuala Sungai Pontian dan Kukup di daerah Pontian, Johor. Menangkap ikan merupakan salah satu daripada aktiviti ekonomi sara diri mereka. Namun demikian, terdapat juga pada masa kini mereka-mereka yang telah berjaya dalam bidang perniagaan, pertanian malah bidang-bidang profesional yang lain. Raut wajah dan tingkah laku mereka lebih mirip kepada orang Melayu yang secara tradisinya menjadi jiran turun temurun mereka.


Orang Kanaq

Orang Kanaq merupakan rumpun bangsa Orang Asli yang paling kecil jumlah populasinya. Penempatan utama mereka adalah di Kampung Sungai Selangi, Mawai, daerah Kota Tinggi, Johor. Mereka dikatakan berasal daripada kepulauan Riau, Indonesia yang melarikan diri akibat dari ancaman tentera Belanda. Bahasa pertuturan mereka seakan orang Melayu dengan lenggok bahasa yang agak kasar.


Orang Seletar

Orang Seletar atau ’Sea Gypsies’ pada awalnya merupakan kumpulan pengembara persisiran pantai yang tinggal dalam rumah perahu, pulau, persisiran pantai dan kuala sungai. Kawasan utama pertempatan mereka adalah di sekitar pantai selatan Johor dan utara Singapura seperti di Kampung Bakar Batu, Johor Baharu. Secara tradisinya mereka bergantung hidup kepada hasil laut. Keadaan ini menyebabkan mereka hidup berpindah randah. Walau bagaimanapun, perubahan dalam sosio ekonomi telah merubah cara hidup mereka. Terdapat mereka yang mengusahakan kedai makanan laut (seafood). Kini mereka tinggal dan menetap di kawasan penempatan yang lebih teratur dan tersusun di persisiran pantai selat Johor.


Jakun

Rumpun bangsa Jakun atau disebut juga Orang Ulu dikatakan berasal dari Yunan, selatan China. Penempatan utama mereka adalah di kawasan pantai Pahang, Rompin, Pekan dan Johor Utara. Kebanyakan dari mereka masih mengamalkan kepercayaan animisme yang dipengaruhi oleh alam sekitar seperti gunung, bukit, lembah, sungai, batu, gua dan sebagainya. Mereka kuat berpegang kepada pantang larang yang diamalkan sejak lama dahulu.


Semelai

Rumpun bangsa Semelai menghuni kawasan Pahang Tengah iaitu di Tasik Bera, Sungai Triang, Paya Besar dan Paya Badak hingga melebar ke sempadan Negeri Sembilan iaitu di Sungai Serting, Sungai Lui dan Ulu Muar. Mereka memiliki wajah serta fizikal mirip orang Melayu. Mata pencarian mereka ialah mencari hasil hutan dan juga berladang.


Temuan

Temuan merupakan rumpun bangsa keempat besarnya dalam hierarki kaum Orang Asli. Penempatan mereka hampir keseluruhannya terdapat di negeri Selangor (kecuali daerah Kuala Langat), Melaka, Negeri Sembilan, Temerloh, di Pahang dan juga Muar di Johor. Rumpun bangsa Temuan di Negeri Sembilan mengamalkan adat pepatih di mana keistimewaan Batin adalah selaku salah seorang daripada ahli dalam perlantikan Undang.


Takrif Orang Asli:




Dalam Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) semakan 1974, mana-mana bapanya ialah ahli daripada kumpulan etnik Orang Asli dan lazimnya mengikut cara hidup Orang Asli dan adat dan kepercayaan Orang Asli, dan termasuklah seorang keturunan melalui lelaki orang itu;

Mana-mana orang daripada mana-mana kaum yang diambil sebagai anak angkat semasa budak oleh Orang Asli dan yang telah dibesarkan sebagai seorang Orang Asli, lazimnya bercakap bahasa Orang Asli, lazimnya mengikut cara hidup Orang Asli dan adat dan kepercayaan Orang Asli dah ialah ahli daripada suatu masyarakat Orang Asli atau;

Anak daripada mana-mana penyatuan antara seorang perempuan Orang Asli dengan seorang lelaki daripada suatu kaum lain, dengan syarat bahawa anak itu lazimnya bercakap bahasa Orang Asli, lazimnya mengikut cara hidup Orang Asli dan adat dan kepercayaan Orang Asli dan masih lagi menjadi ahli daripada masyarakat Orang Asli;

Mana-mana Orang Asli yang tidak lagi berpegang kepada kepercayaan Orang Asli oleh kerana dia telah memeluk mana-mana agama atau oleh kerana apa-apa sebab lain, tetapi dia masih mengikut cara hidup Orang Asli dan adat Orang Asli atau bercakap bahasa Orang Asli tidak boleh disifatkan sebagai tidak lagi menjadi Orang Asli semata-mata oleh sebab dia mengamalkan agama itu.

Fakta Sejarah

Menurut para pengkaji sejarah, kepulauan Melayu telah mula diduduki oleh manusia yang dipanggil Austronesian atau Malayo-Polynesia sekitar 5,000 tahun dahulu. Mereka ini dikatakan berasal daripada Selatan China (Yunan) dan Taiwan. Penghijrahan mereka ke selatan adalah secara ’sporadic’, ’irregular’ dan ’incremental’. Bermula dari Filipina menganjur ke pulau-pulau Indonesia sehingga ke penghujung tanah besar Asia, pulau-pulau Pasifik dan Madagascar.

Majoriti Orang Asli di Malaysia (termasuk kaum Bumiputera) yang menghuni kawasan Indo-Malaya sekarang ini adalah keturunan daripada manusia Austranesian awal ini. Hasil daripada Banci Penduduk JHEOA 2004, jumlah populasi Orang Asli Malaysia ketika ini ialah seramai 141,230 orang. Mereka terbahagi kepada tiga Kumpulan Kaum Orang Asli iaitu, Melayu Proto (Proto-Malay), Negrito dan Senoi yang membentuk 18 Rumpun Bangsa.

Kampung Orang Asli Negeri Terengganu

  1. Kampung Sungai Pergam , Ulu Jabor , Kemaman 24000 Terengganu
  2. Kampung Sungai Berua , Kuala Berang 21700 Terengganu