Saturday, April 18, 2009

ARKIB : 24/03/2009


PBS sasar 700 belia Orang Asli jadi ahli

KUALA LIPIS 23 Mac - Kesedaran untuk berpersatuan di kalangan belia Orang Asli masih rendah sehingga menyebabkan mereka disisihkan dalam aktiviti kemasyarakatan.

Menyedari perkara itu, Pejabat Belia dan Sukan (PBS) daerah Lipis menyasarkan seramai 700 belia Orang Asli di 32 buah kampung di daerah ini akan menganggotai persatuan berdaftar pada tahun ini.

Penolong Pegawai Belia dan Sukan Lipis, Badri Dainial berkata, pihaknya dengan kerjasama Majlis Belia daerah telah mengadakan siri penerangan di kalangan belia Orang Asli bagi menarik minat mereka menganggotai persatuan khususnya persatuan belia.

Beliau berkata, usaha itu bagi memenuhi hasrat kerajaan untuk melibatkan lebih ramai golongan belia dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan melalui program 'Satu Komuniti, Satu Persatuan.'

"Ia untuk memastikan masyarakat tidak meminggirkan golongan belia dalam setiap aktiviti yang hendak dijalankan," katanya ketika ditemui selepas menutup Kursus Pembangunan Kepimpinan Asas (Belia Belum Berpersatuan) Orang Asli Hulu Jelai, di Kem Lata Bechung, Kuala Medang, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Majlis Belia Lipis, Ahmad Daniar Ismail dan Pengerusi Gerakan Belia 4B Kuala Medang, Zamri Ismail.

Program tiga hari dua malam itu mendedahkan para peserta terdiri daripada 39 belia Orang Asli mengenai aspek pengurusan persatuan dan kepimpinan organisasi.

Menurut Badri, ketika ini hanya terdapat sebuah persatuan belia Orang Asli yang berdaftar di Kampung Simoi Baru, Hulu Jelai, sementara dua lagi masih di peringkat penubuhan.

"Hasrat kita adalah untuk membabitkan lebih ramai golongan belia Orang Asli dalam berpersatuan bagi mengurangkan masalah sosial dan salah laku di kalangan mereka," katanya.

Beliau berkata, pembabitan secara aktif belia Orang Asli dalam persatuan akan turut membuka minda mereka terhadap dasar-dasar pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi mengubah taraf hidup mereka.

Dalam pada itu, Badri berkata, Kelab Rakan Muda Orang Asli di Lipis akan dilancarkan pada 12 April ini di Bera.

Penubuhan Kelab Rakan Muda Orang Asli itu katanya, merupakan pemangkin kepada golongan tersebut dalam membina jati diri dan kepimpinan

No comments:

Post a Comment