Saturday, April 18, 2009

Nasional@1 pada pukul 8 malam


Ikut hasrat ramai - Rais

SEREMBAN 17 April - Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mengambil langkah mengubah waktu siaran berita utama Nasional@1 kepada pukul 8 malam selepas mengambil kira pandangan dan reaksi orang ramai yang mahu ia dikembalikan pada waktu asal.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, reaksi umum terhadap siaran itu telah dikumpul oleh RTM dan keputusan menyiarkannya pada waktu asal diambil selepas difikirkan terbaik untuk rakyat bagi membolehkan mereka mengikuti siaran berita perdana pada waktu anjal.

"Keputusan balik kepada waktu tradisional, mengembalikan situasi masa prima agar rakyat dapat mengikuti Nasional@1 pada masa utama,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas pengumuman RTM hari ini yang akan menyiarkan semula berita Nasional@1 pada pukul 8 malam berbanding 9 malam sebelum ini, mulai Isnin ini.

Bagaimanapun Rais menjelaskan, reaksi orang ramai berhubung penjadualan semula siaran berita itu masih terlalu awal untuk diulas kerana kementeriannya baru sahaja meminda siaran berita itu.

"Selepas beberapa kali ia disiarkan barulah kita dapat melihatnya.

"Ini kerana reaksi orang ramai terlalu banyak, jadi kita fikir ia sewajarnya dilakukan bagi bagi memenuhi kehendak orang ramai yang setia dengan RTM," katanya.

No comments:

Post a Comment