Saturday, April 18, 2009

Penumpang lebih selesa naik bas malam


KUALA LUMPUR 17 April - Ramai penumpang lebih gemar menggunakan perkhidmatan bas ekspres pada sebelah malam kerana berpendapat perjalanan jauh akan menjadi lebih selesa dan tidak terganggu oleh kesesakan lalu lintas dan cuaca panas.

Terdapat juga faktor khusus kenapa perjalanan bas ekspres pada sebelah malam menjadi pilihan bagi sesetengah orang.

Misalnya bagi mereka yang berasal dari negeri seperti Kedah dan Perlis tetapi sedang bekerja di Kuala Lumpur.

Selepas bercuti hujung minggu, mereka dapat terus ke tempat kerja pada pagi Isnin, setelah memulakan perjalanan dengan bas pada malam hari Ahad.

Ketua Pegawai Operasi Sani Ekspres dari pantai timur, Hashim Mohamad berkata, oleh itu perjalanan bas pada sebelah malam tidak perlu diharamkan seperti yang disarankan oleh sesetengah pihak.

''Jangan hanya disebabkan satu dua kemalangan yang berlaku di sebelah malam, jadual perjalanan bas perlu diubah. Ia telah lama dilaksanakan dan penumpang sudah biasa dengannya. Ia tidak perlu diubah.

''Kenapa kapal terbang dan keretapi boleh berjalan waktu malam. Apakah mereka tidak pernah terlibat kemalangan,'' soalnya.

Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas Se-Malaysia, Datuk Ashfar Ali, turut tidak pasti sama ada langkah mengharamkan perjalanan bas ekspres pada waktu malam akan dapat mencegah kemalangan.

''Lagipun tiada fakta kukuh yang kemalangan hanya berlaku di waktu malam. Banyak faktor lain seperti cuaca dan keadaan jalan perlu juga diambil kira, bukan sahaja soal para pemandu mengantuk.

''Permintaan terhadap perjalanan malam lebih tinggi berbanding siang hari dan sebagai penyedia perkhidmatan kami kena mengambil kira faktor tersebut,'' katanya.

Ashfar juga berkata, perkhidmatan bas ekspres malam lebih efisien kerana pengguna boleh menjimatkan masa dan wang.

''Bagi penumpang yang membuat perjalanan atas urusan perniagaan, mereka boleh naik bas di sebelah malam, sampai pagi esoknya mereka sudah boleh lakukan urusan tersebut dan bila selesai mereka boleh naik bas pada malam itu juga untuk balik semula dan ini secara tidak langsung akan menjimatkan perbelanjaan dari segi sewa hotel,'' katanya.

Pengerusi Lembaga Perlesenan dan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Datuk Markiman Kobiran menghargai saranan terhadap mengharamkan perjalanan bas malam.

Bagaimana beliau menyifatkan saranan itu lebih sebagai penyelesaian sementara.

''Bukan mudah untuk melaksanakannya dan ia perlu dinilai dari pelbagai sudut khasnya dari segi ekonomi dan keperluan manusia.

''Kalau perjalanan malam disekat, semua aktiviti manusia boleh terbatas. Sebahagian manusia akan menghabiskan waktu kerja mereka di atas bas dan ini akan memberi kesan kepada perkembangan ekonomi negara,'' katanya.

Markiman berkata, pemantauan LPKP mendapati pengusaha bas telah berusaha mempertingkatkan tahap keselamatan perkhidmatan operasi masing-masing seperti memasang sistem Perkhidmatan Radio Paket Global, menggunakan khidmat dua pemandu, bas yang lebih selesa serta menghantar pemandu mengikuti kursus motivasi dan latihan kecekapan.

''Jika dilaksanakan (pengharaman) ia menjadi tidak adil kepada pengusaha yang mempunyai reputasi yang baik yang sanggup mengeluarkan peruntukan yang banyak bagi mencapai standard perkhidmatan terbaik.

''Jadi adalah tidak adil kepada mereka untuk menanggung kerugian atas kelalaian pihak lain,'' katanya.

Markiman turut mencadangkan agar pengusaha mempertingkatkan pengurusan syarikat khususnya dari segi pengurusan sumber manusia dalam membasmi kemalangan bas.

''Saya syorkan pengusaha supaya sediakan kakitangan yang secukupnya bagi memantau pergerakan pemandu bas mereka agar setiap pergerakan bas dapat dilaporkan terus kepada pengarah syarikat.

''Dengan pemantauan yang ketat tanpa perlu bergantung kepada pihak berkuasa saya yakin kejadian kemalangan dapat dikurangkan,'' katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment