Saturday, April 18, 2009

Bajet mini buka peluang ekonomi kepada Orang Asli



ARKIB : 12/03/2009

KUALA LIPIS 11 Mac - Kira-kira 13,000 penduduk Orang Asli di sini hari ini menyifatkan pengumuman bajet mini semalam membuka banyak peluang dalam bidang keusahawanan kepada golongan minoriti itu.

Menurut mereka, bajet mini dengan peruntukan berjumlah RM60 bilion itu memberi manfaat kepada Orang Asli dan penduduk luar bandar untuk menikmati pelbagai bentuk kemudahan.

Tok Batin Orang Asli Kampung Betau, Ahmad a/l Selalu berkata, pengumuman bajet itu bertepatan dengan masanya ketika negara mengalami kesan krisis ekonomi global.

''Kami percaya bajet mini itu akan memberi tempias pembangunan di perkampungan Orang Asli di pedalaman sekali gus membawa perubahan dalam hidup kami," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas pengumuman pakej rangsangan berjumlah RM60 bilion pada bajet mini yang dibentang Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen semalam.

Ahmad berkata, pakej rangsangan itu memberi peluang kepada usahawan Orang Asli luar bandar untuk berkecimpung lebih aktif dalam sektor industri kecil dan sederhana (IKS).

Pengerusi Belia Orang Asli Kampung Simoi Baru, Roslan a/l Ahmad berkata, bajet mini berkenaan memberi peluang kepada lepasan sekolah Orang Asli menyertai pelbagai latihan teknikal, vokasional dan keusahawanan.

''Latihan kemahiran berkenaan boleh memberi sumbangan kepada kemajuan ekonomi negara," katanya.

Roslan juga menyarankan kerajaan memberi keutamaan kepada anak Orang Asli berkelulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), diploma dan ijazah bagi mengisi 63,000 kekosongan jawatan dalam perkhidmatan awam.

Tok Batin Orang Asli Kampung Senderut, Mahathir a/l Tegos berkata, bajet mini berkenaan akan meningkatkan lagi projek kemudahan asas di kampung Orang Asli seperti jalan raya, bekalan elektrik dan rumah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT).

''Kemudahan jalan raya membolehkan Orang Asli menjual hasil kampung di bandar," katanya.

Menurut beliau, peruntukan dalam pakej rangsangan itu juga membantu Orang Asli mendapat kediaman sendiri menerusi projek PPRT sekali gus mengelakkan mereka daripada amalan berpindah-randah.

Tok Batin Orang Asli Kampung Temetong, Mehat Ubaidillah menegaskan, bajet berkenaan mengukuhkan keyakinan rakyat terutama Orang Asli kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

''Pakej rangsangan itu mampu mengurangkan keperitan penduduk luar bandar yang menghadapi tekanan berikutan kenaikan harga barang," katanya.


No comments:

Post a Comment