Saturday, April 18, 2009

Datok Seri Najib diharap terus bantu Orang Asli

KUALA LIPIS 4 April – Pelantikan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri keenam diharap dapat membantu kaum minoriti seperti Orang Asli keluar dari belenggu kemiskinan.

Bagi kira-kira 13,000 Orang Asli di Hulu Jelai di sini, mereka berharap pengalaman luas yang dimiliki Najib mampu mencorakkan perubahan berasaskan integriti dan kepintaran.

Mereka juga berharap selaku Perdana Menteri baru, Najib dapat mengikis segala kemelut politik dan politik wang dalam merencanakan agenda pembangunan khususnya untuk penduduk pedalaman dan luar bandar di negeri ini.

Tok Batin Kampung Asli Betau, Ahmad Selalu berkata, pemilihan Najib memang sesuai dalam peralihan pucuk kepimpinan UMNO sekali gus mewakili golongan muda pasca merdeka.

‘‘Apa pun, kami menyokong penuh kepimpinan baru ini dan perkara yang lebih penting iaitu mengembalikan semula kepercayaan golongan muda terhadap kerajaan khususnya membidik arah tuju iaitu membela rakyat,” katanya kepada Mingguan Malaysia di Pos Betau hari ini.

Justeru, kata Ahmad, amanat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi harus dijadikan iktibar oleh Najib dan rakan-rakan dalam Kabinet untuk mencorakkan negara yang berbilang kaum pada masa akan datang.

Bekas juruhebah radio Orang Asli Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), Achong a/l Luji, 59, berkata, dia berbangga Najib yang dilahirkan di Kuala Lipis dilantik sebagai Perdana Menteri keenam dan Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung parti itu minggu lalu.

‘‘Beliau (Najib) mewakili kepimpinan muda serta berintegriti untuk membawa perubahan hidup Orang Asli di pedalaman negeri ini khususnya dalam pendidikan dan ekonomi,” katanya.

Achong yang menetap di Kuala Koyan, Jelai berkata, Najib mampu meneruskan usaha Abdullah dan melaksanakan pengubahsuaian menerusi kepimpinan baru untuk meneruskan agenda pembangunan bagi kesejahteraan rakyat.

Seorang penduduk Orang Asli Kuala Koyan, Kusat a/l Bongsu, 80, berkata, gaya kepimpinan Najib sama seperti bapanya, Tun Abdul Razak Hussein yang diharap akan lebih menumpukan kepada kebajikan penduduk luar bandar termasuk Orang Asli.

‘‘Kami menyambut baik pelantikan Najib sebagai orang nombor satu dalam kerajaan. Kami menunggu sesuatu perubahan yang bakal dilaksanakan untuk keselesaan penduduk pedalaman,” katanya.

Kusat yakin dengan pengalaman Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan mampu melakarkan masa depan generasi baru Orang Asli khususnya dalam bidang pendidikan dan sektor profesional lain.

Pengerusi Belia Orang Asli Kampung Simoi Baru, Betau, Roslan a/l Ahmad, 39, berkata, golongan muda Orang Asli yakin dengan Najib dapat merancang pembangunan untuk kemakmuran negara pada masa akan datang.

‘‘Generasi muda Orang Asli mahu kehidupan yang selesa dan tetap bersama kerajaan,” katanya.

Roslan berkata, sejajar dengan karisma dan integriti Najib, Malaysia mampu melakar kecemerlangan dalam semua bidang pembangunan.

Tok Batin Orang Asli Kampung Senderut, Mahathir a/l Tegos, 40, berkata, penduduk yakin Najib membawa pelbagai perubahan di semua sektor pembangunan supaya negara lebih dikenali di peringkat antarabangsa.

‘‘Saya percaya amanat Abdullah dijadikan panduan oleh Najib untuk mengembalikan perpaduan dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan hari ini,” katanya.

Seorang lagi penduduk Orang Asli Kuala Koyan, Yunizar a/p Hussain, 30, berkata, dia yakin kewibawaan Najib untuk memilih kaum wanita dalam Kabinet barunya yang bakal dibentuk tidak lama lagi.

‘‘Saya harap Najib memberi kepercayaan kepada lebih ramai wanita dalam barisan Kabinet barunya pada masa akan datang,” katanya.

Seorang belia Kuala Koyan, Niskala a/l Awang, 32, berkata, dia yakin Najib dapat menyatukan barisan di semua peringkat agar lebih mantap menghadapi cabaran global.

No comments:

Post a Comment